Tuesday 30 October 2018

Kapal karam tertua di dunia ditemui pada kedalaman 2,000 meter di dasar Laut Hitam!



LONDON – Sebuah kapal dagang Yunani Purba yang dianggarkan berusia 2,400 tahun telah berjaya ditemui di dasar Laut Hitam dan dilaporkan masih berada dalam keadaan yang baik.

Menurut laporan BH Online, penemuan bangkai kapal berkenaan menjadikannya sebagai salah satu daripada 60 kapal karam lain seperti kapal laut Rom dan armada penyerang Kossak dari abad ke-17 yang dikenal pasti oleh Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam (Black Sea MAP).

Sepanjang tempoh tiga tahun mengendalikan projek berkenaan, sekumpulan penyelidik dari Britain dan Bulgaria telah menggunakan sistem kamera air dalam yang sering kali digunakan dalam bidang penerokaan minyak dan gas luar pesisir untuk memetakan dasar laut.


Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam, sebahagian kecil kapal Yunani Purba itu telah dibawa ke makmal pengujian untuk menjalani ujian pentarikhan karbon. Dari situ, dapat disahkan bahawa kapal berkenaan merupakan bangkai kapal tertua di dunia yang masih dalam keadaan utuh.
Kapal berkenaan dikatakan berasal dari zaman kegemilangan ketika Laut Hitam menjadi hab perdagangan koloni Yunani pada tahun 400 Sebelum Masihi.
“Kapal yang masih utuh daripada dunia klasikal, terdampar pada kedalaman lebih dua kilometer adalah sesuatu yang sebelum ini sukar untuk dipercayai. Ini akan mengubah pemahaman kita dalam konteks pembinaan kapal dan pelayaran di dunia purba,” kata Prof Jon Adams dari Universiti Southampton.
Keadaan kapal yang masih terpelihara dengan baik adalah disebabkan oleh ketiadaan bekalan oksigen di dalam kedalaman air itu sekali gus membuatkan sebarang bahan organik dapat bertahan dengan lama
Memetik laporan dari mStar, kapal tersebut begitu terpelihara sehinggakan tulang ikan ‘monkfish’ yang dimakan oleh orang Rom di atas dek masih berada dalam keadaan baik.

No comments:

Post a Comment