Monday 29 October 2018

Bermula November, DBKL tidak lagi dibenarkan untuk ‘clamp’ kereta

KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mengeluarkan arahan yang melarang pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalankan operasi mengunci kereta di ibu negara bermula November ini.

Menurut sumber DBKL kepada StarMetro, satu mesyuarat mengenai perkara ini telah diadakan di antara pengarah eksekutif (perancangan) DBKL iaitu Datuk Mahadi Che Ngah dan pegawai-pegawai kanan dari jabatan kewangan dan undang-undang serta pengendali tempat letak kenderaan.

Ini merupakan kali kedua DBKL mahu menggantung operasi mengunci kenderaan di mana yang pertama adalah pada bulan Mei sejurus selepas Pilihanraya Umum diadakan. Bagaimanapun, tindakan pembatalan mengunci kenderaan ini hanya dilakukan di kawasan-kawasan yang tidak sesak.

“Bagaimanapun kali ini, tiada unsur berpatah balik memandangkan ia adalah arahan secara langsung dari Datuk Bandar.”



Menurut satu sumber, keputusan untuk membatalkan tindakan mengunci kenderaan di seluruh Kuala Lumpur ini dibuat oleh Datuk Bandar setelah beliau sendiri menyaksikan insiden perbalahan antara seorang pemandu dengan seorang pegawai DBKL di Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini.

“Datuk Bandar memaklumkan bahawa beliau merasa seperti dimarahi oleh penduduk dan insiden ini membuatkan DBKL kelihatan teruk. Jadi, beliau memutuskan untuk menggantung penguncian kenderaan,” jelas sumber berkenaan.
Bagaimanapun menurut laporan The Star, ketika Datuk Mahadi dihubungi, beliau tidak menafikan mahupun mengesahkan mengenai berita tersebut. Namun, beliau ada menyatakan bahawa terdapat perbincangan mengenai perkara itu dan ianya belum mencapai keputusan muktamad.
DBKL telah mengeluarkan kontrak parkir kenderaan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang dahulunya dikendalikan oleh ahli politik UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. YWP kemudiannya mengambil tindakan menswastakan penguatkuasaan peraturan parkir dan penguncian tayar kepada kontraktor Vista Summerose.
Ketika dihubungi StarMetro, pengarah urusan Vista Summerose iaitu Datuk Nik Haidi Nik Mohamad mengesahkan telah menerima notis mengenai keputusan Datuk Bandar itu.

Kredit: The Star
“Malangnya, ia adalah benar dan kami sangat kecewa kerana kami mempunyai kontrak yang dengan jelas menyatakan bahawa pihak DBKL melantik kami untuk mengunci mana-mana kenderaan yang diparkir secara tidak sah.”

Tambah Nik Haidi, “Ini akan menyebabkan DBKL menanggung kos yang tinggi (dalam bentuk pampasan). Saya anggarkan ianya tidak kurang daripada RM80 juta memandangkan kami telah diberi kuasa untuk menguruskan parkir dan clamp. Kami telah melaburkan banyak wang untuk logistik sahaja.”
Di samping itu, Nik Haidi turut menyuarakan kebimbangannya terhadap sekurang-kurang 100 orang pekerjanya yang mungkin kehilangan pekerjaan pada bulan hadapan. Bukan sahaja itu, kesalahan trafik juga pastinya akan meningkat pada bulan November sekali gus mengundang kekecohan.
“Mengunci tayar merupakan kaedah penguatkuasaan undang-undang yang paling efektif bagi mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur dan kami telah membuktikannya beberapa kali,” ujar Nik Haidi yang berpendapat trafik akan menjadi lancar dengan serta-merta sebaik sahaja pegawai penguatkuasa dikerahkan ke kawasan sesak.
Sumber: The StarMalay MailSays

No comments:

Post a Comment