Beberapa jam selepas nahas terbabit, ketua Basarnas iaitu sebuah agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Muhammad Syaugi memaklumkan bahawa pihaknya turut menemui beberapa mayat di samping serpihan pesawat yang terapung di dalam air.
Namun, terbaru satu kisah benar yang dikongsikan oleh seorang lelaki telah menular kerana dia dikatakan berjaya mengelakkan tragedi berkenaan gara-gara terlepas penerbangan itu.
Lelaki dikenali sebagai Sony Setiawan itu dikhabarkan sepatutnya menaiki penerbangan yang sama namun kerana terlewat 10 minit, dia telah terlepas untuk menaiki pesawat itu.
Menurut laporan wartawan tempatan, Sony dikatakan telah menempah bagi penerbangan Jakarta-Pangkal Pinang pada hari berkenaan. Bagaimanapun disebabkan oleh kesesakan lalu lintas di Tol Cikampek, Karawang, dia tiba lewat di terminal dan menyebabkannya terlepas penerbangan itu.
“Rumah saya di Bandung dan setiap minggu akan pulang. Jadi dari Bandung saya akan ke Bandara setiap Isnin pagi untuk menaiki Lion Air pada jam 6.10 pagi”.
“Kebiasaannya, saya bertolak dari Bandung pada jam 11 malam dan sampai ke terminal 1B Jakarta sekitar jam 3 pagi. Tetapi kerana kesesakan lalu lintas yang teruk di Cikampek, saya sampai ke Bandara jam 6.20 pagi, pesawat sudah pun berlepas”.
Sewaktu berita mengenai kehilangan pesawat berkenaan dari radar disiarkan di media, Sony menyatakan bahawa dia menangis dan amat bersyukur kerana tidak menaiki penerbangan tersebut.
“Saya sampai menangis, inilah jalan takdir Allah buat saya untuk memperbaiki diri. Tiada ada firasat tentang apa yang akan berlaku. Cuma, dari petang semalam saya sudah merasa tidak sedap hati”.
Bukan sahaja merasakan ada yang tidak kena, tetapi Sony turut menyatakan bahawa dia mencetak pas pelepasan yang sebelum ini tidak pernah dilakukannya.
“Saya semak secara atas talian kerana takut terlambat tetapi saya merasa terlalu malas untuk pergi. Biasanya saya tidak pernah mencetak pas pelepasan”.
Pesawat Lion Air dilaporkan hilang dari radar kira-kira 13 minit selepas berlepas. Kini, pihak berkuasa tempatan masih giat menjalankan siasatan bagi mengetahui punca nahas berlaku.
Sumber: World of Buzz, Detik News
No comments:
Post a Comment