KUALA LUMPUR: Industri emas Malaysia dikuasai sektor hiliran, namun adalah menarik untuk mengetahui bahawa sektor huluan berkembang tiga kali ganda dalam tempoh sedekad lalu kepada RM780 juta pada 2015, berbanding RM211 juta pada 2006.
Tidak banyak diketahui yang pengeluaran emas Malaysia adalah daripada 14 lombong yang terletak di Pahang, Kelantan dan Terengganu dan setakat 2015, Pahang sahaja menyumbang 74 peratus daripada pengeluaran emas negara.
Pengarah Eksekutif Dewan Perlombongan Malaysia, Muhamad Nor Muhamad berkata, pertumbuhan industri itu dipacu oleh peningkatan output serta kenaikan harga emas.
"Sumbangan daripada sektor huluan agak besar, menghasilkan 4.73 tan metrik emas bernilai RM780.8 juta dan mengeksport 4.06 tan metrik emas dilebur bernilai RM523.4 juta pada 2015," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Menurutnya, sebahagian besar emas itu dieksport ke Australia, Singapura, Switzerland, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan Thailand.
Ia dieksport dalam bentuk aloi separuh tulen yang mengandungi 85 peratus emas manakala selebihnya sama ada tembaga, perak, plumbum, zink atau selenium.
"Ia kemudiannya dieksport untuk penulenan kepada 99.9 peratus jongkong emas.
"Bagaimanapun, pengeluar lebih kecil menjual bijih emas kepada tukang emas tempatan yang kemudian melebur dan dipertulen di premis mereka untuk dijadikan barang kemas," katanya.
Muhamad Nor berkata, Malaysia tidak mempunyai kemudahan penulenan emas kerana kebanyakan logam berharga itu selepas dilebur, akan dieksport untuk ditulenkan di negara lain, terutama oleh pelombong besar.
"Pengeluar utama di negara ini sering dikaitkan dengan penggiat emas antarabangsa terkemuka yang mempunyai kilang sendiri di negara lain," katanya.
Mengenai kehadiran dan penyertaan pelabur asing dalam lombong tempatan, beliau berkata, ini disebabkan pelaburan modal yang tinggi diperlukan, selain kepakaran untuk menjalankan kerja perlombongan.
Menurutnya, beberapa tahun lalu terdapat rancangan untuk membina kemudahan penulenan di Sepang, Selangor, bagaimanapun ia gagal berikutan kekangan mendapatkan sumber bahan mentah yang cukup untuk kilang berkenaan.
Mengenai prospek industri itu, Muhamad Nor berkata, pelbagai aktiviti penerokaan yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah mengenal pasti beberapa kawasan dengan emas beranomali di Johor, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.
"Ini bermakna industri emas kita mempunyai potensi untuk mengekalkan pengeluaran pada paras tertinggi untuk beberapa tahun akan datang," katanya.
Menurut data tempatan, sejak 1972, pengeluaran emas mencatat paras tertinggi iaitu 4.739 tan metrik pada 2003, sebelum menyusut kepada 2.794 tan metrik pada 2009 dan meningkat semula kepada 4.732 tan metrik pada 2015.
Bagaimanapun, faktor utama yang akan menjadikan lombong terbabit dapat diusahakan secara ekonomik ialah harga purata emas pada 2015 adalah AS$1,160.11 seauns, katanya.
Setakat hari ini, harga emas berada pada AS$1,206 seauns dan dilaporkan mencatat paras tertinggi tahun ini sekitar AS$1,256 pada 24 Februari.
Ketika sektor huluan terus berkembang, Muhamad Nor mendapati sumbangan lebih besar adalah daripada sektor hiliran di mana nilai ekonominya jauh mengatasi sektor huluan.
"Yang penting ialah sumbangan sektor hiliran yang mengimport emas untuk dijadikan barang kemas dan aksesori, bukan sahaja untuk pasaran domestik, tetapi juga antarabangsa," katanya.
Ini dicerminkan oleh emas diimport untuk menghasilkan barang kemas di mana pada 2015 sahaja, negara ini mengimport 77.53 tan metrik emas bernilai RM11.07 bilion, terutama dari Switzerland, UAE, Singapura, Turki, Hong Kong, AS dan Thailand, katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia, Ermin Siow berkata, Malaysia adalah pengeksport barang emas yang penting, iaitu sekitar 50 tan setahun bernilai antara RM6 bilion hingga RM8 bilion, terutama ke Asia Barat.
Menurutnya, ia jauh melebihi penggunaan tempatan, iaitu antara 20 hingga 25 tan setahun.
"Untuk eksport barang kemas biasa, saya boleh katakan yang kita kini antara yang kelima teratas di dunia," katanya.
Bagaimanapun, katanya, sektor tersebut dengan lebih 3,000 tukang emas dan peruncit barang kemas, berhadapan tahun mencabar sejak tahun lalu berikutan sentimen pengguna yang lemah kerana penyusutan ringgit menyebabkan kenaikan harga runcit emas tempatan.
Muhamad berkata, persekitaran yang mencabar dijangka berterusan tahun ini dengan tidak ada tanda-tanda jelas pemulihan ringgit atau peningkatan sentimen pengguna.
"Kami menjangka ia akan berterusan pada 2017. Ia akan menjadi tahun yang sukar untuk industri berkenaan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment