Monday, 12 November 2018

Sains Merungkai Larangan Lelaki Memakai Emas!


Emas merupakan barang kemas yang sangat disukai oleh kebanyakan wanita. Peliknya, ramai dikalangan lelaki turut menunjukkan minat dengan memakai emas.

Dalam Islam, kaum lelaki diharamkan memakai apa sahaja barangan yang berunsurkan emas termasuk gigi emas.

Larangan ini jelas dalam sebuah hadis sahih dari Abu Musa r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Telah diharamkan memakai sutera dan emas bagi lelaki dari umatku dan dihalalkan bagi wanitanya". (Hadis riwayat At-Tirmidzi. A-Nasai dan Ahmad)

Daripada hadis ini, emas dalam bentuk apa pun, sama ada emas putih, emas suasa atau apa sahaja logam pelbagai warna yang mengandungi unsur emas hukumnya adalah haram.

Sementara itu, benda yang dicat dengan warna emas tidak boleh dikatakan sebagai emas. Ulama sependapat bahawa hukumnya tidak haram kerana ia bukannya emas - hanya rupa dan warna saja kelihatan sama. Yang haram adalah emas dan bukan kemiripannya.

Hikmah disebalik larangan itu, umat Islam sebenarnya diajar supaya senantiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan Rasul. Disamping mengajar kita supaya hidup secara sederhana dan tidak bermegah-megah dalam berhias.

Perhiasan emas hanya diberikan kelonggaran kepada wanita untuk memakainya sebagai alat mencantikkan diri dan menarik perhatian suami. Manakala lelaki pula tidak ada keperluan untuk menambah hiasan pada diri mereka kerana perhiasan sebegitu tidak sesuai dengan sifat dan kejantanan seorang lelaki.

Kebelakangan ini, perintah Allah yang diturunkan melalui Rasul sejak 1,400 tahun dahulu mula tersingkap hikmah dan kebenarannya terutama dari sudut perubatan.

Ahli sains menyimpulkan bahawa partikel emas mampu menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah manusia yang mampu memberi kesan buruk kepada ketahanan badan seterusnya menjejaskan kesihatan kepada pemakai.



Dari sudut sains menjelaskan bahawa kondisi dan tekstur kulit lelaki sangat berbeza dengan seorang wanita.

Perhiasan emas yang kita pakai juga bukanlah seratus peratus emas tulen. Emas tulen adalah 24 karat tetapi kebanyakan barang kemas adalah dalam bentuk 18 dan 22 karat. Ini bermakna, jika emas itu 18 karat atau 22 karat, 75 peratus kandungannya ialah emas tulen, manakala 25 peratus lagi terdiri daripada logam lain yang mungkin boleh jadi dibentuk daripada perak, tembaga, zink atau paladium.

Tujuan utama menambahkan logam lain adalah untuk menguatkan produk tersebut dan emas campuran yang tahan lasak ini dipanggil aloi emas.

Kesan penggunaan emas terhadap kulit sebenarnya sudah dikaji oleh seorang pakar perunding dari International Gold Corporation di Johannesburg, Afrika Selatan bernama william S. Rapson.

Daripada penyelidikannya mendapati bahawa kulit manusia boleh menghasilkan asid amino dan natrium klorida.

Apabila kita berpeluh, kedua-dua bahan kimia tersebut akan bertindak balas dengan aloi emas yang dipakai. Kesan reaksi kimia dan geseran kulit, aloi emas dikesan boleh menyerap masuk ke dalam kulit manusia.

Partikel-partikel aloi emas yang kurang daripada 40 nanometer memang terbukti boleh memasuki liang-liang roma kulit. Kajian dermatologi turut menunjukkan penyerapan partikel emas boleh dipercepatkan oleh keadaan pH (ukuran keasidan) kulit yang tinggi alkalinya. Dan terbukti, pH kulit lelaki adalah beralkali lebih tinggi daripada perempuan.

Tambahan pula, lelaki lebih cenderung memiliki kulit dan bulu roma yang tebal serta kasar berbanding wanita. Sebab itulah kenapa sains mendapati lelaki mampu menyerap partikel emas lebih tinggi berbanding wanita.

Apa pula yang akan berlaku selepas penyerapan logam ke dalam kulit?

Apabila partikel emas sudah masuk ke dalam epidermis dan sistem peredaran darah, ia boleh menyebabkan clumping protein atau protein terkumpul.

Keadaan itu menjadikannya tidak berfungsi lalu memberikan impak kepada sistem kardiovaskular lelaki.

Malah, penemuan baru oleh pasukan penyelidik di University of California, San Francisco (UCSF), begitu mengejutkan apabila mendapati pengumpulan protein ini boleh mempercepatkan proses penuaan.

Pengarah Larry L. Hillblom Center, Biology of Aging di USCF, Profesor Cynthia Kenyon, berkata kecenderungan protein melekat bersama-sama akan mengakibatkan saluran darah tersumbat dan tidak berfungsi, seterusnya menjadi toksik. 

Apa yang mengejutkan, rupanya kehadiran protein tidak larut ini banyak dikesan di dalam otak pesakit-pesakit yang menghidap penyakit neurodegenerative, termasuklah Alzheimer, Parkinson dan Amyotrophic sklerosis lateral (ALS)

Bagaimana pula dengan wanita? Adakah pemakaian emas juga berbahaya kepada golongan ini?

Wanita tidak menderita masalah tersebut kerana mereka memiliki keistimewaan yang tidak ada pada lelaki iaitu hormon estrogen. Dari segi kesihatan, hormon ini membantu hal-hal mobiliti dalam peredaran darah. Apabila kepekatan estrogen tinggi terutamanya semasa haid, saluran darah akan mengembang dan membesar untuk keselesaan perjalanan serta pengeluaran darah.

Walaupun lelaki juga memiliki hormon estrogen, tapi ia sangat sedikit malah fungsinya juga tidak diketahui. Malah, estrogen lelaki cuma berkeadaan statik dan saluran darah mereka tidak mengalami pengembangan seperti wanita.

Jadi, jika sekiranya ada partikel emas memasuki badan lelaki, partikel berbahaya itu akan menyumbat saluran darah dan sebab itulah kenapa lelaki cenderung mengalami masalah kesihatan seperti kardiovaskular.

Dan inilah sebabnya kenapa Islam melarang lelaki daripada memakai emas.

Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2014/06/sains-merungkai-larangan-lelaki-memakai.html#ixzz5Wdllnzif 
Follow us: @SentiasaPanas on Twitter | SentiasaPanas on Facebook

Industri emas negara berkembang pesat

KUALA LUMPUR: Industri emas Malaysia dikuasai sektor hiliran, namun adalah menarik untuk mengetahui bahawa sektor huluan berkembang tiga kali ganda dalam tempoh sedekad lalu kepada RM780 juta pada 2015, berbanding RM211 juta pada 2006.
Tidak banyak diketahui yang pengeluaran emas Malaysia adalah daripada 14 lombong yang terletak di Pahang, Kelantan dan Terengganu dan setakat 2015, Pahang sahaja menyumbang 74 peratus daripada pengeluaran emas negara.
Pengarah Eksekutif Dewan Perlombongan Malaysia, Muhamad Nor Muhamad berkata, pertumbuhan industri itu dipacu oleh peningkatan output serta kenaikan harga emas.

"Sumbangan daripada sektor huluan agak besar, menghasilkan 4.73 tan metrik emas bernilai RM780.8 juta dan mengeksport 4.06 tan metrik emas dilebur bernilai RM523.4 juta pada 2015," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Menurutnya, sebahagian besar emas itu dieksport ke Australia, Singapura, Switzerland, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan Thailand.
Ia dieksport dalam bentuk aloi separuh tulen yang mengandungi 85 peratus emas manakala selebihnya sama ada tembaga, perak, plumbum, zink atau selenium.
"Ia kemudiannya dieksport untuk penulenan kepada 99.9 peratus jongkong emas.
"Bagaimanapun, pengeluar lebih kecil menjual bijih emas kepada tukang emas tempatan yang kemudian melebur dan dipertulen di premis mereka untuk dijadikan barang kemas," katanya.
Muhamad Nor berkata, Malaysia tidak mempunyai kemudahan penulenan emas kerana kebanyakan logam berharga itu selepas dilebur, akan dieksport untuk ditulenkan di negara lain, terutama oleh pelombong besar.
"Pengeluar utama di negara ini sering dikaitkan dengan penggiat emas antarabangsa terkemuka yang mempunyai kilang sendiri di negara lain," katanya.
Mengenai kehadiran dan penyertaan pelabur asing dalam lombong tempatan, beliau berkata, ini disebabkan pelaburan modal yang tinggi diperlukan, selain kepakaran untuk menjalankan kerja perlombongan.
Menurutnya, beberapa tahun lalu terdapat rancangan untuk membina kemudahan penulenan di Sepang, Selangor, bagaimanapun ia gagal berikutan kekangan mendapatkan sumber bahan mentah yang cukup untuk kilang berkenaan.
Mengenai prospek industri itu, Muhamad Nor berkata, pelbagai aktiviti penerokaan yang dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah mengenal pasti beberapa kawasan dengan emas beranomali di Johor, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.
"Ini bermakna industri emas kita mempunyai potensi untuk mengekalkan pengeluaran pada paras tertinggi untuk beberapa tahun akan datang," katanya.
Menurut data tempatan, sejak 1972, pengeluaran emas mencatat paras tertinggi iaitu 4.739 tan metrik pada 2003, sebelum menyusut kepada 2.794 tan metrik pada 2009 dan meningkat semula kepada 4.732 tan metrik pada 2015.
Bagaimanapun, faktor utama yang akan menjadikan lombong terbabit dapat diusahakan secara ekonomik ialah harga purata emas pada 2015 adalah AS$1,160.11 seauns, katanya.
Setakat hari ini, harga emas berada pada AS$1,206 seauns dan dilaporkan mencatat paras tertinggi tahun ini sekitar AS$1,256 pada 24 Februari.
Ketika sektor huluan terus berkembang, Muhamad Nor mendapati sumbangan lebih besar adalah daripada sektor hiliran di mana nilai ekonominya jauh mengatasi sektor huluan.
"Yang penting ialah sumbangan sektor hiliran yang mengimport emas untuk dijadikan barang kemas dan aksesori, bukan sahaja untuk pasaran domestik, tetapi juga antarabangsa," katanya.
Ini dicerminkan oleh emas diimport untuk menghasilkan barang kemas di mana pada 2015 sahaja, negara ini mengimport 77.53 tan metrik emas bernilai RM11.07 bilion, terutama dari Switzerland, UAE, Singapura, Turki, Hong Kong, AS dan Thailand, katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia, Ermin Siow berkata, Malaysia adalah pengeksport barang emas yang penting, iaitu sekitar 50 tan setahun bernilai antara RM6 bilion hingga RM8 bilion, terutama ke Asia Barat.
Menurutnya, ia jauh melebihi penggunaan tempatan, iaitu antara 20 hingga 25 tan setahun.
"Untuk eksport barang kemas biasa, saya boleh katakan yang kita kini antara yang kelima teratas di dunia," katanya.
Bagaimanapun, katanya, sektor tersebut dengan lebih 3,000 tukang emas dan peruncit barang kemas, berhadapan tahun mencabar sejak tahun lalu berikutan sentimen pengguna yang lemah kerana penyusutan ringgit menyebabkan kenaikan harga runcit emas tempatan.
Muhamad berkata, persekitaran yang mencabar dijangka berterusan tahun ini dengan tidak ada tanda-tanda jelas pemulihan ringgit atau peningkatan sentimen pengguna.
"Kami menjangka ia akan berterusan pada 2017. Ia akan menjadi tahun yang sukar untuk industri berkenaan," katanya. - BERNAMA

Sunday, 11 November 2018

Uptown Seksyen 24 terbakar lagi

SHAH ALAM: Tiga blok membabitkan 32 kedai di tapak lama Uptown Shah Alam di Seksyen 24, di sini, terbakar kira-kira jam 5 pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Shah Alam, Penguasa Bomba Kanan I Yusri Basri berkata, blok pertama dan kedua hangus 100 peratus manakala blok ke tiga terbakar 50 peratus.
“Bomba menerima panggilan pada jam 5.37 pagi dan tiba pada jam 5.43 pagi tadi bagi menjalankan operasi pemadaman api.

“Ketika bomba tiba di lokasi api sedang marak namun tiada kedai beroperasi waktu itu dan tidak membabitkan mangsa.
“Kebakaran membabitkan 32 unit kedai iaitu 14 unit di blok pertama, 14 unit di blok kedua dan empat unit di blok ketiga dengan berkeluasan 8.9 meter persegi setiap kedai.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.43 pagi dan padam sepenuhnya jam 7.03 pagi,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran dipadamkan pasukan bomba dengan kekuatan seramai 34 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan Subang Jaya, yang diketuai oleh Komander Operasi, Haizad Morah Abbas.
Difahamkan lokasi kebakaran adalah bersebelahan tapak baharu yang sedang dalam proses pembinaan selepas kebakaran empat tahun lalu.
Pada 15 Oktober 2014, penduduk Shah Alam dan sekitarnya dikejutkan dengan kebakaran Uptown Shah Alam di Seksyen 24 membabitkan 196 daripada 425 gerai di situ.
Bagaimanapun kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu juga tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Busuknya bau...

KUCHING: Misteri bau busuk dari bilik sewa di sebuah rumah kedai di Jalan Satok, di sini terungkai selepas mayat seorang lelaki ditemui tergantung malam tadi.
Mayat lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun itu ditemui dalam keadaan hampir reput jam 9.45 malam.
Difahamkan, penghuni bilik sewa di premis berkenaan curiga dengan bau busuk dari bilik berkenaan sejak beberapa hari lalu sebelum menghubungi polis dan bomba untuk membuka pintu bilik.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, lelaki terbabit menggantung dirinya menggunakan kain di ruang bilik berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan, polis percaya lelaki terbabit sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula mereput.


“Keterangan yang diperoleh dari penyewa lain mendapati lelaki terbabit sudah menyewa sejak enam bulan lalu namun tidak mengetahui pekerjaannya. Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ah Lek berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Katanya, polis juga akan menghubungi Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching untuk urusan pengebumian lelaki terbabit.

Guru rugi RM65,000 dalam pelaburan emas


KUANTAN: Akibat terpedaya dengan dividen sebanyak RM4,000 sebulan, seorang guru lelaki kerugian RM45,000 selepas ditipu seorang lelaki dalam urusan pelaburan emas, sejak empat tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula pada Jun 2014 apabila mangsa berusia 33 tahun tertarik untuk menyertai pelaburan emas atas nama Terima Emas Berdiskaun diperkenalkan seorang lelaki melalui laman sosial Facebook (FB).


"Mangsa kemudian memasukkan wang sebanyak RM65,000 ke dalam akaun suspek pada 17 Jun 2014. Namun, mangsa hanya menerima pulangan wang berkenaan secara berperingkat sebanyak RM20,000 dan kali terakhir diterima pada Ogos 2015.
"Pada September 2015, suspek memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai masalah kewangan dan akan cuba untuk membuat bayaran secepat mungkin, namun mangsa tidak menerima apa-apa pulangan sehingga hari ini," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata, guru itu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, kelmarin selepas tidak memperoleh pulangan seperti dijanjikan suspek.
Katanya, mangsa cuba menghubungi suspek sejak November lalu, namun gagal.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 33 tahun mengalami kerugian RM7,700 selepas diperdaya sindiket 'Love Scam' menawarkan pelbagai hadiah mewah di sini Mac lalu.
Mohd Wazir berkata, mangsa yang tinggal di FELDA Bukit Sagu dekat sini, berkenalan dengan seorang lelaki melalui laman sosial FB pada Mac lalu.
"Suspek menggunakan nama 'Halim Alex' yang mendakwa berasal dari Brunei dan bekerja di England. Suspek memaklumkan mangsa kononnya dia ada menghantar bungkusan mengandungi beg, telefon bimbit dan jam tangan untuk mangsa.
"Rakan subahat suspek kemudiannya menghubungi mangsa dan memaklumkan mangsa perlu membuat beberapa pembayaran bagi mendapatkan bungkusan berkenaan.
"Mangsa yang termakan dengan pujukan itu kemudiannya membuat bayaran berjumlah RM7,700 dan hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima bungkusan dijanjikan suspek," katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di IPD Kuantan, di sini, semalam dan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
KREDIT:- BHonline

Kejamnya hukuman!

KANAK-KANAK rumah kebajikan dan anak yatim persendirian di Temerloh didakwa dipukul serta dihukum dengan dikurung dalam bilik gelap dengan sebotol air dan baldi untuk membuang air besar dan kencing sehingga beberapa hari.
Seorang ibu mangsa yang enggan dikenali dari Kampung Paya Pulai, berkata, dua anaknya iaitu perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berusia enam tahun pernah mengalami hukuman sedemikian.
Beliau ketika ditemui di rumahnya mendakwa, anak perempuannya pernah dihukum dengan diikat tangan dan diletakkan berhampiran dapur gas dalam keadaan api menyala dan besi panas di bahagian kaki dan belakang badan selama beberapa minit.
"Malah, anak lelaki saya pula pernah ditumbuk di dada, malah ada kesan kecederaan di telinga kirinya hingga sekarang.

"Apa salah dan dosa yang dilakukan oleh anak-anak hingga diperlakukan sebegini. Apabila ditanya anak saya mendakwa didenda dan dihukum kerana tidak mengemas bilik dan basuh kasut," katanya di Temerloh, hari ini.
Beliau berkata, dia menghantar dua anaknya ke rumah kebajikan itu Jun lalu, tetapi hanya dapat berjumpa dengan mereka dua bulan kemudian.
Katanya, dua anaknya itu termasuk penghuni lain dikatakan tidak dibenarkan balik ke rumah apabila cuti umum atau persekolahan.
"Setiap kali ditanya kepada pihak pengurusan, mereka beri pelbagai alasan dan saya hanya dapat berjumpa mereka jika datang melawat ke sana namun setiap kali datang, mereka disibukkan dengan pelbagai aktiviti dan anak-anak pun tidak mengadu hanya mengeluh untuk pulang.
"Sebenarnya,semua kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan terpaksa menutup mulut mereka dan diugut supaya tidak menceritakan nasib malang mereka kepada sesiapa termasuk ibu bapa," katanya.
Sementara itu,anak perempuannya ketika ditemui kurang sihat dan merengek kesedihan namun sempat menjawab tidak mahu pulang lagi ke pusat penjagaan tersebut.
Kejadian itu terbongkar selepas seorang penghuni rumah kebajikan itu membuat laporan polis mendakwa dicabul dan didera kakitangan pusat itu, minggu lalu.
Berikutan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan pemeriksaan mengejut ke atas rumah anak yatim itu, Khamis lalu.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan tiga petugas termasuk pemilik rumah kebajikan anak yatim dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

kredit:- myMetro

Ketam bunga sudah 'merajuk'

ALOR GAJAH: Ketam suri atau lebih dikenali sebagai ketam bunga di perairan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah yang semakin berkurangan menyebabkan nelayan terpaksa menjualnya melalui sistem tempahan.
Jumlah tangkapan ketam yang kian berkurangan sejak dua tahun lalu menyebabkan sistem jualan terus kepada pelanggan tidak lagi dipraktikkan, sebaliknya ia perlu dibuat melalui sistem tempahan kepada nelayan tempatan.
Melalui sistem tempahan, nelayan menjual ketam hanya kepada pelanggan yang sudah membuat pesanan awal dan tidak akan melayan permintaan pelanggan yang hadir untuk mendapatkannya tanpa membuat pesanan.
Nelayan di Kampung Kuala Sungai Baru, Abdul Rahim Abdul Talib, 55, berkata, jumlah ketam bunga di pinggir pantai kampung itu dan kampung lain di sepanjang Kuala Sungai Baru hingga Tanjung Bidara dan Tanjung Dahan, dekat Kuala Linggi, semakin berkurangan sejak dua tahun lalu.

“Ketam bunga hidup dalam pasir, tetapi apabila rumahnya (habitatnya) dicemari, ia sukar untuk membiak dan menyebabkan kami terpaksa berpuas hati dengan jumlah tangkapan yang sedikit.
“Pelanggan yang berhajat makan ketam bunga terpaksa membuat tempahan dan ada kalanya permintaan mereka hanya mampu dipenuhi seminggu atau dua minggu kemudian kerana bukan setiap kali kami turun ke laut, boleh dapat banyak ketam,” katanya.
Dia ditemui sejurus naik ke pantai di kampung itu selepas menarik bento iaitu perangkap ketam yang dipasang di pinggir pantai bersama anaknya, Mohd Iskandar, 22, semalam.
Abdul Rahim berkata, selain menggunakan bento, kaedah lain menangkap ketam ialah dengan menggunakan jaring yang dipasang dan dibiarkan semalaman di pinggir pantai.
Katanya, ada pelanggan yang menunggu dia naik ke darat, tetapi hampa tidak mampu mendapatkan ketam kerana hasil tangkapan itu sudah ditempah terlebih awal oleh pelanggan lain.
Bagaimanapun, dia tidak pernah menaikkan harga ketam bunga iaitu RM15 sekilogram meskipun hidupan laut itu semakin berkurangan.
“Kalau dulu saya dan nelayan lain boleh dapat antara lima hingga enam kilogram ketam sekali turun ke laut, tetapi sekarang untuk mendapatkan dua kilogram pun terlalu susah,” katanya.
Bagaimanapun, ketam bunga yang baru didaratkan tidak pernah sukar untuk dijual, sebaliknya sentiasa menjadi rebutan ramai berikutan isi ketam segar amat jauh berbeza dengan ketam yang sudah dikenakan air batu.
“Mungkin tiga atau empat tahun lagi ketam di pinggir pantai akan pupus akibat pencemaran dan pemusnahan habitatnya oleh tangan manusia sendiri,” katanya.

kredit:- myMetro